TIPAH (tengah) meriba Adira dalam helikopter bomba untuk dibawa ke HGM, hari ini. FOTO ihsan bomba.
TIPAH (tengah) meriba Adira dalam helikopter bomba untuk dibawa ke HGM, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerbangkan bayi perempuan Orang Asli yang keletihan kerana cirit birit dan muntah ke Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Adira Sahak berusia tiga bulan yang tinggal di Pos Balar terpaksa dikejarkan ke HGM dengan penerbangan ihsan kerana sukar menggunakan kenderaan melalui jalan balak.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu menggunakan helikopter Agusta AW189 (9M-BOE).

Beliau berkata, helikopter itu berlepas dari Subang pada 9.11 pagi dan mendarat untuk mengambil bayi terbabit pada 10.30 pagi.

"Kami menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Gombak mengenai perkara itu pada 5 petang semalam.

"Bayi Orang Asli terbabit sudah tiga hari cirit birit dan muntah hingga keadaan badannya semakin lemah," katanya.

Mohd Farhan berkata, mereka kemudian mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 10.55 pagi.

Beliau berkata, bayi terbabit yang diiringi kedua ibu bapanya, Tipah Angah, 29, dan Sahak Razali, 29, dihantar ke HGM menggunakan jentera EMRS disediakan JBPM.

Kru penerbangan ihsan itu diketuai juruterbang, Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhamad Saiful Nizam Samsudin yang dibantu penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Safri Rambli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 4:18 PM