(Gambar kiri) Bayi perempuan berusia lima bulan dari Pos Gob dipangku ibunya bersama murid Orang Asli dari Pos Gob selepas penerbangan terakhir turun dari helikopter petang tadi. FOTO Ramli Ibrahim
(Gambar kiri) Bayi perempuan berusia lima bulan dari Pos Gob dipangku ibunya bersama murid Orang Asli dari Pos Gob selepas penerbangan terakhir turun dari helikopter petang tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan ihsan seorang bayi perempuan yang diserang demam panas dan cirit-birit di Pos Gob, Gua Musang, 11 pagi hari ini untuk mendapatkan rawatan.

Amana Safina Junaidi berusia lima bulan, dikatakan diserang penyakit itu sejak beberapa hari lalu dan memerlukan rawatan segera selepas jalan darat untuk keluar dari kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan.

Komander Pasukan Khas Udara JBPM Pangkalan Subang, Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, secara kebetulan pihaknya sedang melakukan penerbangan ihsan mengangkut lima pelajar yang terkandas di kawasan itu.

"Ketika membuat penerbangan ihsan mengangkut pelajar yang terkandas, kami mendapat maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berhubung keadaan bayi itu. Kami mendarat di kampung itu jam 11 pagi.

"Bayi itu ditemani ibunya Sakila Seri, 26, terus dibawa dengan helikopter Agusta 109E ke Padang Sivik di sini sebelum dikejarkan Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut," katanya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Cik Hamdan berkata, pihaknya menamatkan operasi mengangkut pelajar Orang Asli yang terkandas di Pos Balar, Belatim, Bihai dan Gob jam 2.55 petang tadi.

"Dengan tiga helikopter, Unit Udara JBPM berjaya mengangkut seramai 252 pelajar Orang Asli yang terkandas membabitkan 37 penerbangan.

"Sepanjang tiga hari operasi itu, kita bersyukur tidak berdepan masalah dan semua penerbangan berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:08 PM