Sarah Zulkifli


AHLI perniagaan warga Singapura yang tular di media sosial kerana membelasah anjing dipanggil Furby di pondok pengawal taman perumahan di Bandar Kinrara, Puchong tahun lalu, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhi hukuman itu terhadap Yee Kok Chew, 58, selepas dia menukar pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan semula dalam Bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan Yee selaku orang kena saman (OKS) dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

Dalam prosiding itu, Furby turut dibawa masuk oleh pegawai Jabatan Veterinar ke mahkamah kira-kira lima minit sebelum dibawa keluar.

Mengikut pertuduhan, Yee didakwa bertindak zalim memukul, menyakiti, dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan dan penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong jam 8.49 malam, 2 April 2017.

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) yang boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 43 saat tersebar di laman sosial memaparkan seorang lelaki memukul anjing itu dengan ganas menggunakan topi keledar.

Yee telah memohon maaf. Beliau mendakwa dirinya marah selepas anjing itu menyerangnya.

Perbuatan lelaki itu mengundang kemarahan pencinta haiwan sehingga 50 individu berkumpul di Taman Melody untuk mendesak supaya Yee ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 12:23 PM