Sarah Zulkifli


SEORANG pembantu chef didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan memukul bekas majikannya dengan menggunakan pisau dan topi keledar sehingga menyebabkan mangsa parah dan menerima empat jahitan di bahu, bulan lalu.

Rizal Abd Hatim, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, memukul Siow Woon Sin, 30, sehingga patah tulang pipi sebelah kanan, patah tulang hidung sebelah kiri, patah bahagian bawah orbital mata sebelah kiri dan menerima empat jahitan di bahagian bahu sebelah kiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan selepas stesen minyak Petronas Puncak Jalil 7, Persiaran Puncak Jalil, Bandar Kinrara, Puchong, jam 11.20 malam, 18 April lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashyaari Kamaruzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Hakim Hilmiah Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 2:48 PM