FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli

SEORANG bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan mendera anak perempuannya berusia 14 tahun dengan menyepak, mencucuh api rokok pada lengan dan membaling kerusi ke arah mangsa.

Tertuduh berusia 44 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh jatuh hukum memandangkan laporan perubatan masih belum diterima.

Mengikut pertuduhan, pemandu peribadi itu didapati melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya dengan menyepak badan, mencucuh api rokok pada lengan dan membaling kerusi ke arah mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dilakukan di sebuah rumah di Seksyen 4, Taman Kinrara, Puchong pada 11.30 malam 26 April lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkipli menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan kerana dia menanggung tiga orang anak termasuk mangsa yang tinggal bersamanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa serta melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:37 PM