Yee dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas didakwa mendera anjing di sebuah pondok pengawal keselamatan di Puchong. (Gambar kanan) Anjing yang bernama Furby turut dibawa ke mahkamah. FOTO Eizairi Shamsudin
Yee dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas didakwa mendera anjing di sebuah pondok pengawal keselamatan di Puchong. (Gambar kanan) Anjing yang bernama Furby turut dibawa ke mahkamah. FOTO Eizairi Shamsudin
Sarah Zulkifli


AHLI perniagaan warga Singapura yang tular di media sosial kerana memukul seekor anjing bernama Furby di pondok pengawal taman perumahan di Bandar Kinrara, Puchong, April lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Yee Kok Chew, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak zalim dengan memukul, menyakiti, dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan dan penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong, 8.49 malam pada 2 April lalu.

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) yang boleh dihukum di bawa akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:25 PM