DR Mahathir pada sidang media sidang media, semalam. Turut sama, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Dr Wan Azizah (kiri) serta Presiden AMANAH Mohamad Sabu (dua dari kanan).
DR Mahathir pada sidang media sidang media, semalam. Turut sama, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Dr Wan Azizah (kiri) serta Presiden AMANAH Mohamad Sabu (dua dari kanan).
HM Digital

Shah Alam: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketujuh jika gabungan pembangkang itu menerima mandat rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Jika kerajaan dibentuk, calon jawatan Timbalan Perdana Menteri akan disandang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah berkata, blok pembangkang juga akan memulakan proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas mengambil alih pentadbiran, Anwar dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan diangkat sebagai calon Perdana Menteri kelapan,” katanya pada Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, semalam.

Hadir sama, Wan Azizah yang juga Presiden PH, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Pengumuman itu sekali gus menguatkan kenyataan Dr Mahathir yang membayangkan satu daripada tiga kawasan Parlimen yang bakal ditandingi beliau pada PRU 14 ketika Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di lokasi sama pada 30 Disember lalu.

Ia membabitkan sama ada Parlimen Langkawi dan Kubang Pasu di Kedah serta Putrajaya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PH turut mengumumkan 165 kerusi bakal ditandingi empat parti pembangkang berkenaan kelak.

“Ia merangkumi 52 kerusi PPBM, 51 kerusi PKR, 35 kerusi DAP dan 27 kerusi AMANAH.

“Persetujuan itu diperoleh melalui Perjanjian Muafakat PH yang dipersetujui pemimpin utama keempat-empat parti pada 6 Januari 2018 (kelmarin),” katanya.

Pada konvensyen kali kedua yang disertai ratusan perwakilan blok pembangkang itu, Kit Penerangan, Tabung dan Jentera Pilihan Raya PH turut dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:15 AM