Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Honda Civic selepas terbabit kemalangan dengan Naza Sutera di Jalan Kulim-Nahang berhampiran simpang ke Batu Puteh. FOTO ihsan Mohd Firdaus
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Honda Civic selepas terbabit kemalangan dengan Naza Sutera di Jalan Kulim-Nahang berhampiran simpang ke Batu Puteh. FOTO ihsan Mohd Firdaus
Azahar Hashim

SEORANG maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan Honda Civic dengan Naza Sutera di Jalan Kulim-Mahang, berhampiran Batu Puteh, Kulim, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, mangsa yang maut adalah seorang lelaki, pemandu Honda Civic yang tersepit di tempat duduk, manakala tiga penumpang lelaki lain cedera.

Sementara itu, pemandu Naza Sutera terbabit mengalami kecederaan parah manakala empat penumpang lain cedera.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 5.29 petang.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mahizar Mansor dari Balai Bomba Kulim bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian pasukan bomba mendapati empat mangsa berada di dalam Honda Civic dengan pemandunya, seorang lelaki tersepit di tempat duduk.

"Pemandu Naza Sutera yang juga lelaki turut tersepit dan parah, manakala empat penumpang iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki cedera," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit dan cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim.

"Pemandu kereta Honda Civic itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 11:00 PM