KEMALANGAN membabitkan Toyota Hilux dan treler. FOTO Recqueal Raimi
KEMALANGAN membabitkan Toyota Hilux dan treler. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


LELAKI maut selepas Toyota Hilux dipandunya bertembung dengan treler di Jalan SESB, Batu 6, Kudat, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa Macheal Loh Vun, 56, meninggal dunia di lokasi selepas parah di beberapa bahagian badan akibat tersepit.

Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 2.31 petang, dua jentera dengan kekuatan seramai lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, mangsa ditemui tersepit di kerusi pemandu Toyota Hilux dalam keadaan kenderaan remuk.

PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan SESB, Batu 6, Kudat. FOTO Recqueal Raimi
PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan SESB, Batu 6, Kudat. FOTO Recqueal Raimi

"Anggota kemudian segera mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal oleh paramedik Hospital Kudat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Pasukan bomba mengambil masa hampir sejam mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Douglas Nyeging Taong ketika dihubungi berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat untuk mengenalpasti punca kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:19 PM