Mohd Hasbi Sidek


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sudah menghantar notis temu siasat kepada pemilik kenderaan Rolls Royce yang dilaporkan disita dalam Op Patuh di Jalan Bangsar, malam Ahad lalu.

Notis berkenaan dihantar tengah hari tadi kepada D'herbs Holding Sdn Bhd memandangkan kereta mewah itu didaftarkan atas nama syarikat berkenaan, bertujuan memanggil pemilik kenderaan agar hadir untuk siasatan lanjut.

Pengarah JPJ WPKL Ismail Mohd Zawawi berkata, ini berikutan kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak kami sudah menghantar notis kepada D'Herbs Holding Sdn Bhd tengah hari tadi. Mereka perlu hadir dalam masa dua hingga tiga minggu untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan mengikut kepada peraturan yang ditetapkan, pemilik perlu membayar caj perbezaan antara Lesen Memandu Kenderaan Motor (LKM) Sarawak dengan semenanjung," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro semalam melaporkan kereta Rolls Royce dipercayai milik Pengarah Urusan D'herbs Holding Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri, antara 20 kenderaan disita dalam Op Patuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Bangsar.

Dalam operasi bermula 8.30 malam itu, kereta mewah berkenaan yang disewa warga Australia itu disita kira-kira 11 malam, kerana kesalahan kawasan pengisytiharan penggunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Ismail berkata, kenderaan berkenaan disita sementara pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelesaikan dokumentasi pemandu dua warga Australia kerana disyaki tidak memiliki dokumen sah.

"Selepas proses dokumentasi oleh pihak JIM, mereka melepaskan dua warga Australia berkenaan, sebelum JPJ melepaskan kenderaan itu kepada pemandunya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 5:04 PM