Seorang wanita mengibarkan bendera Palestin semasa perhimpunan membantah pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Perhimpunan diadakan di Beirut, Lebanon, pada 19 Disember lalu. FOTO Agensi
Seorang wanita mengibarkan bendera Palestin semasa perhimpunan membantah pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Perhimpunan diadakan di Beirut, Lebanon, pada 19 Disember lalu. FOTO Agensi
Siti A'isyah Sukaimi


ORANG ramai yang menyertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya esok digalakkan menggunakan bas disediakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ia berikutan, dua jalan utama menuju Masjid Putra membabitkan Jambatan Putra dan Laman Perdana akan ditutup pada 9 pagi sehingga tamat perhimpunan itu.

Menurutnya, empat bas disediakan Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik memandangkan dijangka 10,000 orang akan menyertai himpunan itu.

"Justeru, mereka boleh meletakkan kenderaan masing-masing di tempat meletak kereta di Istana Kehakiman, Presint 3, ruang terbuka di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 serta Dataran Monumen Alaf Baru, Presint 2.

"Kemudian, mereka boleh menuju ke Masjid Putra untuk menyertai perhimpunan berkenaan menaiki bas disediakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, orang ramai juga dibolehkan meletakkan kenderaan di boulevard berhadapan Kementerian Kewangan, Presint 2 yang terletak kira-kira 500 meter dari Masjid Putra.

"Mereka diminta mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas dan meletakkan kenderaan seperti ditentukan oleh Perbadanan Putrajaya.

"Selain itu, maklumat lanjut boleh melayari Facebook Perbadanan Putrajaya berhubung lokasi tempat meletak kereta bagi penganjuran perhimpunan ini," katanya.

Himpunan yang berlangsung esok turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:37 PM