ORANG ramai mula menikmati makanan  pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri, di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ORANG ramai mula menikmati makanan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri, di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


SUASANA di Kompleks Seri Perdana, Presint 10 di Putrajaya meriah dengan kehadiran orang ramai yang membanjiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019.

Kehadiran pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan usia tidak ‘putus-putus’ malah, ada yang datang seawal jam 7.30 pagi beratur untuk masuk ke perkarangan kompleks berkenaan.

Pelbagai juadah disediakan kepada pengunjung terletak di Laman Sari Kompleks Seri Perdana.

Selain itu, kelihatan pengunjung beratur panjang dan sabar menunggu kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selain Menteri Kabinet untuk bersalam di kediaman rasmi.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana hari ini bermula 10 pagi hingga 4.30 petang.

Menerusi kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini, dianggarkan kira-kira 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan majlis berkenaan yang bertujuan beramah mesra serta mengeratkan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat.

Ia juga diadakan dalam meningkatkan persefahaman masyarakat dan berkongsi kegembiraan bersama-sama dengan golongan kurang bernasib baik.

Bagi memudahkan pengunjung ke majlis itu, perkhidmatan bas percuma bermula 9.30 pagi turut disediakan di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 12:56 PM