MUHAMMAD Aidil terlantar di katil dan tidak mampu bergerak.
MUHAMMAD Aidil terlantar di katil dan tidak mampu bergerak.
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang remaja menanggung derita terlantar di atas katil selepas sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya Julai lalu.

Muhammad Aidil Yusri Abdullah, 16, kini bukan saja tidak mampu bercakap, malah pergerakannya terbatas selepas bahagian kanan badannya lumpuh.

Semuanya berpunca selepas Muhammad Aidil Yusri terbabit nahas motosikal pada 15 Julai lalu di Jalan Kuantan-Bypass, berdekatan Taman Kristal dekat sini.

Menurut kakaknya, Nurhafiza Elianti Abdul Halim, 30, adiknya yang juga anak ke-10 daripada 11 beradik itu kini bergantung kepada ahli keluarga bagi menguruskan dirinya.

Adiknya parah selepas kemalangan itu dan terpaksa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat pendarahan di kepala.

“Doktor membuat keputusan untuk membuang sebahagian tempurung sebelah kanan kepalanya dan dia terpaksa menjalani tiga pembedahan dalam sebulan bagi mengeluarkan darah beku itu.

“Selain itu, doktor juga terpaksa menebuk kepalanya bagi membuang air berlebihan dan selain itu, ada juga darah beku di hatinya,” katanya.

Surirumah itu berkata, adiknya itu kini tinggal bersamanya di Taman Pantai Batu Hitam dan dijaga secara bergilir-gilir oleh adik-beradiknya yang lain selepas tiga bulan menerima rawatan di HTAA.

MUHAMMAD Aidil hanya mampu minum susu menerusi tiub dipasang di hidung.
MUHAMMAD Aidil hanya mampu minum susu menerusi tiub dipasang di hidung.

“Muhammad Aidil Yusri sebelum ini seorang yang periang. Malah sebelum ini dia pernah memasuki pusat tahfiz dua tahun di Kelantan,” katanya.

Kini dia hanya terlantar di atas katil akibat kemalangan itu malah kelakuannya tidak ubah seperti bayi apabila dia tidak lagi mampu bercakap atau bergerak.

“Hanya matanya yang bergerak, malah dia hanya mampu minum susu menerusi tiub di hidungnya,” katanya.

Nurhafiza Elianti berkata, adiknya hanya boleh minum susu jenama Peptamen berharga RM90 setin dan bertahan selama dua hari saja kerana dia meminumnya setiap tiga jam.

“Tetapi saya bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu mengurangkan beban kami sekeluarga dengan menyumbangkan susu dan lampin pakai buang.

“Namun, kami memerlukan bantuan lain bagi menampung keperluannya,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nurhafiza Elianti di talian 014-6754338 atau menerusi akaun Maybank adiknya, Nurhafiza Arina (156094332461).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 11:16 AM