Suraya Roslan


TANGGAL 22 April lalu adalah hari paling sukar dilupakan buat Mohd Yusub Abdul Rahman apabila menerima ujian besar sebaik menerima berita anak bongsunya kemalangan sehingga lumpuh.

Pesara kerajaan berusia 65 tahun itu mengakui insiden yang berlaku pada 5 petang di Selayang itu melenyapkan harapan anak bongsu daripada lima beradik itu melalui kehidupan normal seperti orang lain.

Anak lelakinya, Abdul Hakim, 20, kini hanya terbaring dan tidak boleh bercakap selepas disahkan menghidap penyakit saraf otak.

Mohd Yusub berkata, doktor terpaksa mengeluarkan tempurung di kepala disebabkan hentakan kuat dan darah beku akibat kemalangan motosikal itu.

“Ketika kejadian, Abdul Hakim menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Medan, tiba-tiba dia terlanggar tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pagar rumah orang.

“Kejadian itu menyebabkan anak tersepit dan kepalanya terhantuk tiang elektrik sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

“Pembedahan mengeluarkan darah beku dilakukan pada 23 April lalu dan 3 Mei untuk pembedahan di kerongkong.

“Selepas pembedahan itu berjaya, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan kerana keadaan masih belum sedar dan tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ABDUL Hakim meminum susu tiga jam sekali setiap hari. FOTO Ihsan Mohd Yusub Abdul Rahman
ABDUL Hakim meminum susu tiga jam sekali setiap hari. FOTO Ihsan Mohd Yusub Abdul Rahman

Beliau berkata, akibat kemalangan itu doktor terpaksa mengeluarkan tempurung di kepala Abdul Hakim disebabkan hentakan kuat dan pendarahan yang banyak di kepala ketika kemalangan.

“Doktor juga ada memberitahu saya Abdul Hakim akan membuat pembedahan semula di kepala untuk memasukkan semula tempurung kepala yang dikeluarkan Disember nanti.

“Sekarang keadaan anak saya terlantar di atas katil, tidak boleh bercakap dan hanya minum susu tiga jam sekali setiap hari.

“Hanya keluarga sahaja tempat Abdul Hakim bergantung harap untuk menguruskan dirinya,” katanya.

Menurutnya, kejadian menimpa Abdul Hakim juga satu tamparan hebat buat keluarganya apabila melihat anak yang dulunya aktif kini hanya terbaring di katil tanpa mampu bercakap.

“Namun, saya menganggap ini ujian Allah buat kami sebagai hambanya.

“Ketika ini kami berdepan dengan kekangan kewangan, pencen saya sebagai pesara kerajaan hanya RM1,500 sebulan, manakala kos rawatan Abdul Hakim melebihi RM752 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB 7005203175 atas nama Mohd Yusub Abdul Rahman.

ABDUL Hakim hanya terbaring dan tidak boleh bercakap selepas disahkan menghidap penyakit saraf otak.  FOTO Ihsan Mohd Yusub Abdul Rahman
ABDUL Hakim hanya terbaring dan tidak boleh bercakap selepas disahkan menghidap penyakit saraf otak. FOTO Ihsan Mohd Yusub Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:28 PM