NOR Syafira Mohd Nawi, 21 (kanan) bersama adiknya, Mawaddah Mohd Nawi, 14 (kiri) menyelamatkan dua kucing dan dibawa ke PPS di SK Marang di Kampung Rusila. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
NOR Syafira Mohd Nawi, 21 (kanan) bersama adiknya, Mawaddah Mohd Nawi, 14 (kiri) menyelamatkan dua kucing dan dibawa ke PPS di SK Marang di Kampung Rusila. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


JUMLAH mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,446 orang daripada 373 keluarga, pada 12.30 tengah malam tadi.

Ini berbanding 947 daripada 251 keluarga sehingga kira-kira 9 malam tadi.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Terengganu, semua mangsa ditempatkan di 12 di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 13 PPS.

Bilangan mangsa di Kuala Nerus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan seramai 807 orang daripada 184 keluarga di empat PPS berbanding seramai 291 orang daripada 67 keluarga di empat PPS.

Jumlah mangsa di Marang juga meningkat kepada seramai 497 orang daripada 151 mangsa berbanding seramai 481 orang daripada 139 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Jumlah mangsa di Setiu menunjukkan penurunan apabila hanya seramai 32 orang daripada tujuh keluarga di satu PPS berbanding seramai 65 orang daripada 14 keluarga di dua PPS.

Di Dungun, jumlah mangsa kekal dengan 45 orang daripada 11 keluarga ditempatkan di satu PPS sementara seramai 45 orang daripada 15 keluarga ditempatkan di satu PPS di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, portal http://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan paras air di dua sungai iaitu Sungai Marang, Marang dan Sungai Nerus, Setiu melepasi paras amaran.

Paras air Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan menunjukkan bacaan 2.46 meter (m) melepasi paras amaran 2.30m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap pula mencatatkan bacaan 20.79 m berbanding paras amaran 20.5m.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 1:23 AM