Ahmad Zahid ketika melancarkan Aplikasi Imarah Masjid Utama JAKIM di Karnival Planet UMMAH (KPU) ‘Masjid Utama 2017’ dan pelancaran Aplikasi Imarah Masjid Utama JAKIM di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Ahmad Zahid ketika melancarkan Aplikasi Imarah Masjid Utama JAKIM di Karnival Planet UMMAH (KPU) ‘Masjid Utama 2017’ dan pelancaran Aplikasi Imarah Masjid Utama JAKIM di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Siti A'isyah Sukaimi


JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan mengambil langkah sepatutnya berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an termasuk siasatan kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dan penipuan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti dinyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, polis khususnya JSJK menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa yang ada.

“Biarpun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai mata wang asing ini tidak mempunyai kuasa perundangan, dapatan kajian ini memberi pengesyoran supaya siasatan mengikut perundangan harus dilakukan.

“Mereka juga mencadangkan beberapa personaliti dinamakan dalam laporan itu supaya dilakukan siasatan mengikut undang-undang kanun jenayah atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Planet Ummah di Dataran Putra berdepan Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Semalam, satu laporan polis dibuat bagi meminta siasatan dijalankan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM Sekitar 1990-an yang dibentangkan di Parlimen.

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Kes Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi dilaporkan berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga berkenaan.

Beliau dipetik berkata, pasukan yang diketuai Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh itu ditubuhkan sejurus laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.

Ditanya sama ada individu dinamakan dalam laporan berkenaan akan dipanggil memberi keterangan, Ahmad Zahid berkata, ia seperti dinyatakan oleh Mohamad Fuzi iaitu akan dipanggil jika diperlukan.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan aplikasi telefon pintar Etikaf iaitu platform menghebahkan aktiviti tiga masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta melancarkan Tabung Derma Syria Care pada karnival itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 5:18 PM