MOHAMAD Fuzi (tengah, depan) bergambar bersama pegawai serta anggota polis selepas majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara. FOTO Amran Hamid
MOHAMAD Fuzi (tengah, depan) bergambar bersama pegawai serta anggota polis selepas majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


BARISAN panel yang akan menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes penyeludupan manusia di Wang Kelian, Padang Besar, pada 2015 dijangka dilantik bulan depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini pihaknya belum mengetahui tarikh perlantikan panel RCI terbabit, namun pihaknya sudah bersedia menjadi urus setia dalam pendengaran.

“Kita tidak tahu tarikh sebenar (perlantikan) dan Menteri Dalam Negeri juga ada menyebut ahli yang dilantik akan ditentukan kerajaan kerana perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi di pihak kami, kita sudah bersiap sedia dengan pegawai yang ditetapkan untuk menjadi urus setia kepada RCI ini nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, penubuhan RCI berkenaan bukanlah disebabkan ada bukti baharu mengenai kes itu, namun ia ekoran permintaan banyak pihak yang masih tidak berpuas hati dengan hasil siasatan pihaknya sebelum ini.

“Walaupun kita sudah menjelaskan berkenaan perkara ini di semua peringkat, namun masih ada pihak berasa tindakan kita tidak mencukupi.

“Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi mencari jawapan dalam perkara ini,” katanya.

Empat tahun lalu, ratusan kubur serta kem yang dipercayai menempatkan pelarian dari etnik Rohingya Myanmar ditemui di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar.

Krisis kemanusiaan terbesar itu menyebabkan kawasan berkenaan dikawal ketat pihak keselamatan.

Malah, kerajaan turut memansuhkan keistimewaan ‘free flow’ untuk rakyat Malaysia berulang-alik sejauh satu kilometer hingga kawasan Pasar Wang Prachan di kawasan Thailand berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.

Mengulas mengenai rancangan kerajaan memansuhkan atau meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Mohamad Fuzi berkata, ia tidak perlu dimansuhkan sepenuhnya.

“Kita faham ia adalah sebahagian daripada janji kerajaan, namun pihak polis ada mencadangkan seboleh-bolehnya undang-undang ini tidak dimansuh sebaliknya ditambah baik pada bahagian atau klausa undang-undang berkenaan.

“Pada pandangan kami, kita masih memerlukan undang-undang ini bagi mengekang isu gangsterisme, sindiket jenayah berkumpulan kemudian isu sensitif yang kita sedang tangani ketika ini khususnya berkaitan Daesh dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk badan peguam yang menggesa supaya undang-undang ini dapat dimansuhkan kerana dilihat melanggar hak asasi manusia.

Selain itu, ia juga adalah selaras dengan manifesto kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum lalu yang mahu undang-undang zalim dihapuskan sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 3:25 PM