ADIB  (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (dua dari kiri), Azman  (tiga dari kiri) dan Shahrir ( tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Iskandar Puteri City and Community Portal sempena ISKARNIVAL 2017 di Puteri Harbour, semalam.
ADIB (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (dua dari kiri), Azman (tiga dari kiri) dan Shahrir ( tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Iskandar Puteri City and Community Portal sempena ISKARNIVAL 2017 di Puteri Harbour, semalam.
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: ISKARNIVAL 2017 yang membuka tirai semalam menyaksikan pelancaran Iskandar Puteri City and Community Portal dalam usaha memperkasakan komuniti sekitar Iskandar Puteri, di sini.

Datuk Bandar Iskandar Puteri Adib Azhari Daud berkata, portal berkenaan akan menjadi rujukan bagi penduduk mahupun komuniti pekerja di sekitar kawasan berkenaan demi kebaikan bersama.

Beliau berkata, portal berkenaan juga bertujuan mengeratkan dan menyatupadukan pelbagai lapisan masyarakat.

“Pelancaran portal ini adalah ke arah merancakkan penggunaan digital dalam kalangan masyarakat.

“Portal ini juga membolehkan masyarakat berkongsi dan bertukar pandangan serta idea.

“Ia bertujuan mewujudkan peluang berinteraksi dalam kalangan penduduk mahupun dalam kalangan usahawan yang mampu memperkukuhkan dan memperkasa masyarakat di Iskandar Puteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Iskandar Puteri City and Community Portal sempena ISKARNIVAL 2017 di Puteri Harbour, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB) Datuk Khairil Anwar Ahmad, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Tan Sri Azman Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad Datuk Azmir Merican, Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar.

Sementara itu, Khairil berkata, kewujudan portal itu adalah seiring dengan pengisytiharan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sebagai bandar raya ke-14 di Malaysia manakala kedua di negeri ini pada 22 November lalu.

“Iskandar Malaysia mampu mencapai pelbagai kecemerlangan dan pembangunan berterusan termasuk daripada segi budaya, ekonomi dan sosial menerusi pelbagai perancangan serta inisiatif.

“Ia termasuk menerusi penganjuran karnival ini mahupun pelancaran portal,” katanya.

Khazanah bersama UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) dan Iskandar Investment Berhad (IIB) merupakan penganjur bersama ISKARNIVAL edisi ketujuh ini.

Karnival ini diisi dengan pelbagai acara menarik kehadiran ribuan penduduk.

Ia termasuk ISKARNIVAL Kool di Puteri Harbour yang diadakan selama dua hari bermula hari ini yang menampilkan aktiviti kebudayaan, hiburan dan jualan.

Seramai 640 penggiat seni tempatan terutama anak kelahiran Johor menjayakan pelbagai aktiviti di karnival berkenaan.

Manakala ISKARNIVAL Aktif yang diadakan mulai 2 Disember hingga 3 Disember ini di Kompleks Sukan EduCity menyaksikan penganjuran pelbagai aktiviti sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:56 AM