Hayati Ibrahim


KERAJAAN akan meneliti untuk memperluaskan pemberian bantuan orang tua kepada penjagaan warga emas dan pemberian insentif kepada penjaga warga emas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil apabila menyedari menyedari negara akan berdepan dengan fasa negara tua menjelang 2030.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan data warga emas.

"Malah, kerajaan turut mengalu-alukan dan menyokong supaya negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan kemudahan infrastruktur sosial kepada warga emas," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Sosial Negara kali pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Sebanyak tiga kertas utama dibincangkan iaitu Penuaan dan Sokongan Sosial/Penyediaan Keperluan Warga Emas di Malaysia dan Buli di Institusi Pendidikan dan Dalam Komuniti oleh KPWKM serta cadangan Peningkatan Pendidikan Kerohanian di Peringkat Pendidikan Awal Kanak-kanak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagi kertas pembentangan ketiga, Ahmad Zahid berkata, KPM mensyaratkan semua prasekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan (termasuk tadika swasta) melaksanakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang ditambah baik dan disemak semula untuk pelaksanaan tahun ini.

Katanya, KSPK (semakan 2017) mempunyai enam tunjang, dan satu daripadanya adalah kerohanian, sikap dan nilai yang mempunyai dua komponen utama yang perlu diajar di peringkat prasekolah.

"Komponen berkenaan adalah Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam dan Pendidikan Moral untuk murid bukan Islam.

"Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran dan pembelajaran kedua-dua komponen ini adalah 120 minit seminggu," katanya.

Mengulas mengenai kes buli yang berlaku di sekolah, beliau berkata, mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan beberapa perkara termasuk melaksanakan pengelasan data yang memenuhi definisi buli sebenarnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama yang berkesan juga perlu diadakan untuk mewujudkan intervensi sosial bersepadu antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"(Malah) Penggunaan media sosial oleh badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu sebagai ejen anti buli juga amat dialu-alukan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 8:32 PM