FOTO Mohd Adam Arinin
FOTO Mohd Adam Arinin
Hamizah Badiran

DALAM usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyusun pelbagai program sepanjang 10 tahun dari 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).

Menerusi pelancarannya yang dilaksanakan tahun ini, DMK bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu bersetuju melaksanakan DMK dan inisiatif itu diambil demi memastikan hala tuju pendidikan negara mempunyai garis ukur yang jelas.

Selain DMK, kerajaan juga akan memantapkan persekitaran asas galakan membaca dan ketersediaan mental secara agresif, kreatif serta inklusif melalui Kempen Membaca Kebangsaan selama tiga tahun, mulai 2018 hingga 2020.

Justeru, pelaksanaan DMK merangkumi enam program utama iaitu kepelbagaian program membaca, pembangunan prasarana dan aktiviti membaca, pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, capaian buku digital atau E-Buku serta pendidikan sepanjang hayat.

Beberapa pendekatan strategi juga diambil KPM di mana antaranya adalah mewujudkan rangkaian kerjasama merentas kementerian dan agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

FOTO Faiz Anuar
FOTO Faiz Anuar

Selain itu, program pembacaan dengan aktiviti kreatif dan inovatif, selaras dengan kemajuan Revolusi Perindustrian 4.0 turut dipertingkatkan selain meluaskan akses capaian kepada bahan bacaan dan sumber maklumat melalui pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di seluruh negara.

Penanda aras tahap pencapaian pembacaan rakyat Malaysia yang aktif membaca meningkat kepada 25 peratus daripada jumlah penduduk pada lima tahun pertama pelaksanaan DMK juga diperkenalkan.

Program galakan membaca secara inklusif di seluruh Malaysia melalui pelbagai platform akan terus digerakkan dan kerajaan komited mendapatkan sokongan kewangan serta kerjasama daripada badan korporat, swasta, ahli perniagaan dan orang perseorangan di bawah tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Malah, sehingga Oktober lalu, sebanyak 3,703 program berjaya diadakan dengan penyertaan 3,461,047 peserta membabitkan penyertaan daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan sebagainya.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan penanda aras pencapaian penerbitan negara maju 0.1 peratus daripada jumlah penduduk.


Oleh itu, kerajaan mensasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada 2017.

Sudah tentu, kelompok sasaran dituju kepada murid prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, penuntut institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/IPTS), masyarakat umum, penjawat awam dan belia.

Setiap peringkat ini akan diberi pendedahan dan digalakkan membaca bahan bacaan yang boleh meningkatkan ilmu dalam pelbagai bidang mahupun genre diminati.

Contohnya, anak-anak di prasekolah mula mengenal bahan dan pembacaan awal di peringkat ini dan perlahan-lahan membaca untuk menganalisa dan mendapat pengetahuan yang lebih kreatif serta inovatif apabila berada di sekolah rendah dan menengah.

Bagi penuntut IPTA/IPTS dan golongan dewasa pula, tujuan mereka membaca akan berubah seperti untuk rekreasi, pengetahuan kreatif, meningkatkan profesionalisme dan sebagainya.

Tidak terkecuali, istimewa buat kumpulan marginal, kempen membaca dalam kalangan golongan orang kurang upaya, gelandangan, warga asing, warga emas, kanak-kanak autisme, disleksia, sindrom down dan anak yatim tanpa mengira kaum mahupun etnik turut dijalankan.

Sudut Membaca bagi penghuni penjara, komuniti pinggir bandar dan seumpamanya turut tidak diabaikan.

Kesimpulannya, DMK adalah satu pendekatan yang lebih mantap lagi agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan menyegarkan pembudayaan membaca.

Kempen itu juga menggunakan slogan #MALAYSIAMEMBACA, yang dipilih dan akan dipopularkan sebagai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca serta melahirkan masyarakat berilmu taraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:00 AM