KANAK-KANAK fokus dalam pembelajaran di prasekolah Peter & Jane, Mutiara Damansara.
KANAK-KANAK fokus dalam pembelajaran di prasekolah Peter & Jane, Mutiara Damansara.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Bahagian Pendidikan Swasta (BPSwasta), Kementerian Pendidikan Malaysia kini menggerakkan pelbagai usaha, termasuk melancarkan program gerak gempur melantik pasukan petugas khas kutipan data dan mengadakan promosi di saluran radio dan televisyen bagi meningkatkan jumlah enrolmen murid-murid prasekolah di prasekolah swasta di seluruh negara.

Penolong Pengarah Sektor Promosi dan Hubungan Antarabangsa BPSwasta Mohammad Afidzi Nor Mohamad berkata, kementerian menetapkan indeks prestasi utama (KPI) nasional sebanyak 910,378 orang atau 90 peratus penyertaan kanak-kanak menerima pendidikan prasekolah yang disediakan oleh kementerian dan juga pihak swasta di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata, sasaran paling besar diletakkan kepada institusi pendidikan prasekolah swasta di mana mereka perlu menawarkan perkhidmatan kepada 473,397 orang atau 52 peratus kanak-kanak.

“Setakat 14 Mac lalu, sebanyak 247,626 (27.2%) murid prasekolah swasta yang dilaporkan dalam SMPK oleh pengusaha prasekolah swasta. BPSwasta percaya jumlah murid yang sedang mengikuti pendidikan prasekolah swasta adalah lebih ramai daripada pencapaian semasa, namun belum dilaporkan oleh pengusaha dalam SMPK.

Bahagian ini turut mengumpulkan data secara manual daripada agensi-agensi lain yang menyediakan perkhidmatan prasekolah seperti tadika di bawah jabatan agama Islam negeri.

“Kami tahu ia usaha sukar, namun usaha perlu diteruskan bagi meningkatkan enrolmen berkenaan, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Katanya, tahun lalu, pihaknya berjaya mencapai 48.8 peratus enrolmen berbanding 52 peratus yang ditetapkan menerusi KPI nasional.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut menyokong program Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) bagi melonjakkan bilangan murid untuk menyertai pendidikan awal kanak-kanak, sekali gus membantu meningkatkan kualiti pengurusan prasekolah.

Mohammad Afidzi berkata, pihaknya juga berharap supaya program dijalankan Majlis ECCE selaras dengan garis panduan ditetapkan kementerian.

Menurutnya, masyarakat perlu sedar bahawa menghantar anak-anak seawal usia empat tahun ke tadika swasta yang berdaftar adalah satu keperluan bagi memastikan kualiti pendidikan anak-anak terjamin.

“Pada masa sama, BPSwasta juga sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap kualiti tadika swasta melalui Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK) di mana kualiti tadika yang berdaftar dapat dikawal selia oleh kementerian secara dalam talian menerusi SKPK.

“Kami juga ingin menasihatkan ibu bapa supaya menghantar anak-anak ke tadika swasta yang berdaftar saja bagi menjamin pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Selain itu, katanya, pengusaha tadika swasta juga diminta supaya melaporkan enrolmen terkini tadika mereka bagi merancang pembangunan dan perkembangan prasekolah pada masa depan.

Dalam pada itu, katanya, semua institusi pendidikan swasta (IPS) hendaklah mematuhi Seksyen 79, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) di mana sesebuah institusi pendidikan tidak boleh beroperasi sebelum didaftarkan dan jika pengelola melanggar seksyen berkenaan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mohammad Afidzi berkata, setiap tadika swasta perlu berdaftar bagi membolehkan mereka tersenarai dalam Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK) selain pengurusan lebih cekap; menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK); pemantauan berterusan oleh kementerian; memiliki hubungan langsung dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah serta layak menerima insentif ditawarkan kerajaan.

“Bagi tadika yang belum berdaftar, pengelola boleh menghubungi Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan keterangan lanjut tentang proses penubuhan dan pendaftaran sebelum tindakan undang-undang boleh dikenakan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 53 buah prasekolah swasta berdepan tindakan undang-undang atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak mendaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Afidzi berkata, tadika swasta adalah IPS berdaftar yang menyediakan perkhidmatan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang berusia seawal empat sehingga enam tahun dengan menggunakan KSPK dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 7,283 tadika swasta di seluruh negara yang kebiasaannya beroperasi di kawasan kediaman; lot kedai; bangunan khas; premis kerajaan; bangunan korporat; balai raya dan dewan orang ramai.

“Tadika swasta kebiasaannya dimiliki oleh individu atau kumpulan orang, syarikat berdaftar dan pertubuhan atau persatuan,” katanya.

Katanya, penyumbang kepada enrolmen tadika ini adalah terdiri daripada agensi pelaksana di bawah Prasekolah KPM, KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat), JPNIN (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) dan institusi pendidikan swasta.

Dalam pada itu, Mohammad Afidzi berkata, Majlis ECCE dengan kerjasama kementerian dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) akan menganjurkan tiga forum pada 26 Mac ini bermula di Hotel Cititel, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan I, Dato’ P Kamalanathan.

“Forum ini memberi gambaran kepada guru prasekolah; pemimpin sekolah; pengendali tadika dan ibu bapa mengenai kualiti pendidikan prasekolah di Malaysia melalui instrumen penilaian SKPK.

“Pendidik prasekolah akan dapat memahami SKPK dan domain yang terkandung di dalamnya. Mereka juga akan didedahkan dengan cara untuk mengakses instrumen ini secara dalam talian bagi menggunakannya dengan berkesan untuk mengukur dan meningkatkan kualiti tadika masing-masing,” katanya.

Katanya, dua lagi forum akan berlangsung di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, forum itu akan memberi penekanan kepada lima domain iaitu kualiti pengurusan prasekolah; kualiti guru prasekolah; kualiti dalam melaksanakan kurikulum SKPK; kualiti prasekolah dan kerjasama ibu bapa serta kualiti keselamatan, kesihatan dan pemakanan.

“Yuran penyertaan forum ini ialah RM220, termasuk minum pagi, makan tengahari, minum petang serta kit forum. Mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi ECCE di talian 03-78868870 atau menghubungi Setiausaha Penganjur, Choy Ling di talian 011-11475181,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 6:34 AM