Gambar hiasan
Gambar hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


CUAI dalam mengendalikan makanan serta terlalu kotor menyebabkan 27 premis di Seremban diarahkan tutup serta-merta selama dua minggu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Makanan Bersih, Rabu lalu.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 59 premis makanan terutama yang beroperasi 24 jam diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati 27 premis berada pada tahap kotor dan diarahkan tutup serta-merta.

“Tindakan itu dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Selain itu, sebanyak 147 notis kompaun berjumlah RM32,400 dikeluarkan mengikut Seksyen 32B akta sama.

“Seramai 42 pegawai kesihatan daerah terbabit dalam operasi bermula 9 pagi sehingga 6 petang itu,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Zainudin berkata, dari awal tahun sehingga September lalu, sebanyak 5,675 premis makanan diperiksa dan 125 daripadanya diarahkan tutup.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 1,527 notis kompaun berjumlah RM299,640 mengikut Seksyen 32B akta sama, dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Pada tahun lalu, sebanyak 6,358 premis makanan diperiksa dan 124 daripadanya diperintah tutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 2:28 PM