Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali memeriksa kebersihan dapur sebuah restoran. - foto Bernama
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali memeriksa kebersihan dapur sebuah restoran. - foto Bernama
BERNAMA

ENAM daripada 46 restoran yang diperiksa di sekitar Bandar Baru Nilai berhampiran Velodrom diarah tutup dalam Ops Bersepadu Premis Makanan Bersih.

Velodrom berkenaan akan menjadi lokasi pertandingan acara berbasikal temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Dalam operasi itu, antara kesalahan yang dikesan ialah ruang memasak kotor, tempat simpanan makanan berlipas, lantai basah dan licin, makanan dihidang tidak bertutup, serta kedudukan tong sampah berhampiran pinggan mangkuk.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali berkata, daripada jumlah premis yang diperiksa, 64 notis kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun berjumlah RM21,500.

“Operasi ini memberi penekanan serius dan tiada tolak ansur terhadap tahap kebersihan premis, diri dan keselamatan makanan.

“Kita sasarkan premis makanan, termasuk di hotel yang menjadi penginapan atlet, petugas dan orang awam ketika Sukan Sea.

“Selain kompaun, enam premis diarah tutup 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana kotor,” katanya selepas operasi tamat, hari ini.

Operasi kali ketiga bermula 9 pagi hingga 6 petang itu, membabitkan 43 pegawai dan anggota.

Katanya operasi itu bertujuan memastikan makanan yang dijual, khususnya di lokasi temasya Sukan SEA bersih, selamat serta tiada risiko untuk menyebabkan keracunan makanan atau penyakit lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 10:59 PM