IHSAN Polis Diraja Malaysia
IHSAN Polis Diraja Malaysia
Fardy Bungga


POLIS menahan 29 individu termasuk empat wanita dalam serbuan di dua premis perjudian mesin simulator di Labuan.

Semua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 61 tahun yang terdiri daripada penjaga dan pelanggan premis perjudian, dalam serbuan pada 9.15 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wilayah Persekutuan Labuan.

“Antara yang ditahan lima lelaki dan tiga wanita yang bertindak sebagai penjaga premis dan 21 pelanggan termasuk seorang wanita.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas 81 mesin judi simulator, 487 kupon perjudian pelbagai nilai dan RM9,470,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, semua suspek dan barangan yang dirampas dibawa ke IPD WP Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, dan boleh juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap dalang kegiatan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:14 AM