Mohd Tarmizi dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Mohd Tarmizi dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Zatul Iffah Zolkiply


PENAGIH tegar yang tidak serik menghisap dadah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Malah, tertuduh, Mohd Tarmizi Awang, 27, dari Kuala Terengganu yang memiliki empat rekod jenayah lampau penyalahgunaan dadah turut diarahkan menjalani pengawasan selama dua tahun.

Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama.

Mengikut pertuduhan, Mohd Tarmizi didakwa menyalahgunakan dadah jenis methamphetamine dengan memasukkan ke dalam badannya sendiri yang menjadi kesalahan kali kelima pernah dilakukan.

Mohd Tarmizi mengaku salah melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, Marang jam 12.30 tengah malam pada 12 September 2016.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahmanmanakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 3:43 PM