Zatul Iffah Zolkiply


DUA banduan masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana meliwat rakan satu sel mereka.

Kedua-dua tertuduh, Nik Afhan Hafih Nik Hasnusi, 21, dan Muhamad Luqman Hakim Mohd Rased, 21, masing-masing mengaku salah.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Mengikut pertuduhan bagi tertuduh, Nik Afhan Hafih didakwa meliwat mangsa berusia 20 tahun di dalam sel Penjara Marang, Marang, pada 12.05 tengah malam pada 21 Disember 2019.

Bagi Muhamad Luqman Hakim pula, dia didakwa meliwat mangsa sama pada jam 12.10 tengah malam di lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Mengikut fakta kes, pegawai penjara yang bertugas menerima aduan daripada seorang tahanan memaklumkan dia diliwat dua tertuduh kira-kira 8 pagi pada 21 Disember 2019.

Mangsa yang menjalani hukuman atas kesalahan dadah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 3:33 PM