WANITA mental mendakwa dirogol pemilik rumah kebajikan dihuninya. FOTO hiasan.
WANITA mental mendakwa dirogol pemilik rumah kebajikan dihuninya. FOTO hiasan.

Zuliaty Zulkiffli

[email protected]

WANITA mental, 35, yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Jitra di sini, sejak setahun lalu disyaki dirogol pemilik kediaman terbabit.

Mangsa mendakwa pernah dirogol tetapi tidak mengingati tarikh dan bila kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, menurut keluarganya, mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa dia dirogol suspek yang dikenalinya ketika berada di rumah kebajikan terbabit.

“Mangsa dihantar ke rumah kebajikan itu tahun lalu akibat masalah mental selain tiada sesiapa yang menjaganya.

“Mangsa memberitahu keluarganya yang dia pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki itu tetapi tidak ingat bila tarikhnya menyebabkan keluarganya curiga dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya hari ini.

Mohd Ismail berkata, pakar sakit puan kemudiannya mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa disyaki dirogol.

“Bagaimanapun, pemeriksaan luaran kemaluan mangsa mendapati tiada kesan luka atau pendarahan.

“Mangsa akan menjalani pemeriksaan lanjut oleh pakar sakit puan untuk mengenal pasti sama ada dia dirogol atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, menurut jiran berhampiran rumah kebajikan itu, mereka mendapati sudah dua minggu kediaman terbabit tidak berpenghuni selain berkunci.

“Jiran mangsa juga memberitahu, pemilik rumah kebajikan itu tidak kelihatan di kawasan terbabit dan anggota kami sudah ke lokasi kejadian untuk mengumpul maklumat.

“Pemeriksaan doktor juga mendapati mangsa mengalami kecederaan lama di kaki kiri. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 5:38 PM