AMAN menunjukkan perbualan WhatApps antara remaja dengan seorang lelaki dalam urusan jual beli dadah. FOTO Zaman Huri Isa
AMAN menunjukkan perbualan WhatApps antara remaja dengan seorang lelaki dalam urusan jual beli dadah. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


DENGAN upah RM30, pelajar Tingkatan Lima di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh sanggup menjadi ‘runner’ kepada pengedar dadah untuk menjual pil kuda di sekitar kampungnya sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Boy itu berjaya ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Ops Perdana Khas 8.30 malam, 2 April lalu.

Lebih mengejutkan, dia ditahan ketika menyerahkan pil kuda kepada pelanggannya yang juga pengawal keselamatan sekolahnya berusia 30 an yang ditempah melalui aplikasi WhatsApp.

Dalam operasi itu, rakannya berusia 19 tahun yang juga seorang ‘runner’ turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Penolong Pengarah AADK Kelantan Aman Mustapha berkata, berdasarkan maklumat awam, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 an kerana dipercayai terbabit dengan penagihan dadah.

Katanya, pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek menemui perbualannya dengan remaja terbabit melalui WhatsApp untuk urusan jual beli dadah sebelum dia diminta membuat temujanji dengan remaja itu.

“Kemudian suspek bersama dua pegawai AADK menaiki kereta Proton Wira ke lokasi yang dijanjikan. Kami tiba awal di lokasi, sebelum seorang pegawai bersembunyi di lokasi berhampiran.

“Tidak lama kemudian, remaja itu dan rakannya tiba dengan motosikal.

“Ketika menyerahkan dadah, remaja itu ternampak pegawai AADK berada di sebelah suspek dan cuba melarikan diri namun gagal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AADK Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

AMAN menunjukkan statistik tangkapan Ops Perdana Khas. FOTO Zaman Huri Isa
AMAN menunjukkan statistik tangkapan Ops Perdana Khas. FOTO Zaman Huri Isa

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap remaja itu menemui tujuh pil kuda yang dipercayai untuk diserahkan kepada suspek.

“Ujian air kencing terhadap remaja itu negatif dadah. Kita sudah hubungi pihak sekolah dan ahli keluarga remaja terbabit berhubung penahanan itu.

“Remaja dan rakannya kini ditempatkan di Pusat Khidmat Rawatan dan Pemulihan (CCSC) di Kemahang, Tanah Merah selama tiga bulan untuk siasatan dan pemulihan mengikut Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati remaja terbabit mula menjadi ‘runner’ sejak setahun lalu dengan upah RM30 setiap kali berjaya menjual semua bekalan dadah yang diberikan.

“Pemeriksaan di dalam telefon bimbitnya mendapati ada aktiviti untuk mendapatkan bekalan pil kuda daripada remaja ini.

“Sebelum ini, dia pernah mempunyai rekod positif dadah dan mungkin keadaan ini membuka ruang untuknya mengenali pengedar dadah di kawasan sekitar,” katanya.

Aman berkata, pihaknya berdepan cabaran untuk menjejaki ‘runner dadah’ dan pengedar kecil kerana kebiasaannya pembeli akan mencari runner.

“Mereka juga tidak berada di satu tempat sahaja dan sering bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk elakkan dikesan.

“Namun, operasi berterusan akan diadakan dari semasa ke semasa untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 3:51 PM