Buruh dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan seksual fizikal dan sumbang mahram terhadap anak saudaranya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Buruh dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan seksual fizikal dan sumbang mahram terhadap anak saudaranya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEORANG buruh dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan melakukan seksual fizikal dan sumbang mahram terhadap anak saudaranya berusia 17 tahun, lima bulan.

Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh berusia 30 tahun dan mensabitkannya dengan kedua-dua pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Azman antara lain menyatakan mangsa adalah anak yatim piatu dan tertuduh sepatutnya bertanggungjawab menjaganya, namun sebaliknya berlaku apabila melakukan seksual fizikal dan memperkosa mangsa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun lima bulan di sebuah rumah di Kampung Kelubi, Mukim Air Hangat, Langkawi pada 13 Oktober lalu, kira-kira 2 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dan sebat dibaca serentak Seksyen 16 (2) (a) akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 (2) (a) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan sumbang mahram terhadap mangsa pada 7 Oktober lalu di tempat sama, 11.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diperintah menjalani hukuman secara berasingan bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut fakta kes, pengadu (mangsa) dalam kes ini dipelihara oleh datuknya selepas kematian ibu bapa.

Pada 7 Oktober lalu, 11 malam ketika berada di bilik di rumah datuknya, pengadu didatangi bapa saudaranya (tertuduh) yang bertindak memperkosanya.

Selepas itu, tertuduh mengarahkan pengadu tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.

Pada 13 Oktober lalu, kira-kira 2 pagi, tertuduh sekali lagi masuk ke bilik pengadu lalu melakukan seksual fizikal terhadap mangsa.

Datuknya menyedari perubahan sikap pengadu yang menjadi murung sebelum mangsa menceritakan apa berlaku dan dibawa ke Balai Polis Air Hangat, Langkawi untuk membuat laporan.

Siasatan mendapati kedua-dua kejadian berlaku ketika datuk pengadu tiada di rumah dan susulan itu polis menahan tertuduh pada 16 Oktober lalu, kira-kira 4.30 malam.

Mangsa turut dirujuk ke Hospital Langkawi pada 10 Oktober lalu bagi pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur, memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan pada masa depan.

Katanya, pendakwaan juga memohon mahkamah mengambil kira kesan emosi dialami mangsa yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Mangsa kehilangan ibu bapa dan lebih malang ahli keluarga lain mengambil kesempatan terhadap dirinya.

"Bayangkan bagaimana mangsa hendak berdepan dengan masyarakat selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 6:42 PM