Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas disabitkan kesalahan melakukan amang seksual fizikal dengan meraba paha anak perempuan jirannya, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Saperi Sapar, 48, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas menimbangkan rayuan tertuduh, hujah pendakwaan dan fakta kes.

Beliau menetapkan hukuman pemenjaraan bermula dari tarikh ditangkap pada 9 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun dengan meraba pahanya di sebuah rumah di Paya Luboh, Tangga Batu, dekat sini, pada 2 Oktober lalu, kira-kira jam 11 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta, pengadu dalam kes itu ialah ibu kandung mangsa berusia 38 tahun.

Pada 3 Oktober lalu kira-kira jam 7 malam, mangsa memberitahu dia diraba di bahagian paha oleh tertuduh yang dikenali sebagai 'Jolok' semasa tidur di ruang tamu bersama dua adiknya.

Ia adalah kejadian kedua yang mana sebelum ini ibu mangsa tidak membuat laporan polis kerana mahu memberi amaran kepada tertuduh.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 2:58 PM