IZHAM Yusoff
IZHAM Yusoff
HM Digital

Skim Pembiayaan Fleksibel yang diperkenalkan kepada pemaju perumahan swasta dalam Bajet 2018 mampu memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama.

Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) Datuk Izham Yusoff, berkata pihaknya menyambut baik peruntukan berjumlah RM2.2 bilion untuk merancakkan lagi sektor hartanah, khususnya pemilikan kediaman.

“Kami mengalu-alukan usaha kerajaan untuk melanjutkan Skim Pembiayaan Fleksibel yang diperkenalkan kepada Perbadanan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dilanjutkan kepada pemaju sektor swasta,” katanya mengulas mengenai bajet berkaitan perumahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pembentangan berkenaan, Najib mengumumkan peruntukan RM2.2 bilion meliputi pelbagai projek perumahan untuk merancakkan lagi usaha pemilikan rumah.

Ia meliputi 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat, 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan 210,000 unit rumah di bawah program Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang berharga RM250,000 ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi tempoh dua tahun.

Selain itu, sebanyak 25,000 unit rumah akan disiapkan pada tahun depan di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan 128,000 unit lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan.

Perdana Menteri turut menyentuh pembinaan 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes (MyBNHomes) untuk isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan Orang Asli.

Najib turut memaklumkan, sebanyak 2,000 unit rumah akan dibina di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit dan program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

Izham turut memuji beberapa program dan insentif yang diberikan dan menyifatkan ia mampu meningkatkan pemilikan kediaman oleh rakyat.

“BDB juga memuji program MyHomes, insentif untuk pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik, selain RM200 juta bagi dana penyelenggaraan, pengecualian duti setem untuk pembeli rumah dan pengecualian cukai ke atas sewa rumah di bawah RM2,000 yang kali pertama diperkenalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:49 AM