(Gambar fail) Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Generasi Kedua Felda di Felda Sungai Sayong, Kulai. Idris (gambar kecil).
(Gambar fail) Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Generasi Kedua Felda di Felda Sungai Sayong, Kulai. Idris (gambar kecil).
Mohd Nasif Badruddin


SISTEM pelaksanaan projek dan penyampaian bantuan perlu diperkemaskan serta sentiasa dipantau supaya ia tidak menjejaskan golongan sasar.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, beliau berharap kerajaan dapat meneliti semula kaedah pelaksanaan projek supaya ia dapat siap mengikut jadual ditetapkan.

“Kalau boleh elakkan campur tangan politik kerana ia akan menyebabkan pelaksanaan projek tidak sampai kepada matlamat serta golongan sasar ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berharap, pihak pelaksana projek dapat menyelesaikan dulu projek sedia ada kerana terdapat beberapa kes seperti rumah untuk generasi kedua di tanah rancangan masih tertangguh serta belum siap sepenuhnya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengambil kira kesan berantai daripada kenaikan harga bahan api kerana ia akan turut menaikkan kos sara hidup perkara berkaitan seperti barang makanan, pengangkutan dan sebagainya.

Begitupun katanya, Bajet 2018 kali ini turut membawa khabar gembira kepada golongan berpendapatan rendah seperti pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, penoreh getah kerana diberikan pelbagai insentif dan elaun khas.

“Kita setuju benda yang baik dan bagus untuk rakyat seperti pemansuhan kutipan tol di tiga lokasi,” katanya.

Idris berkata, walaupun banyak geran diberi kepada institusi pengajian tinggi, namun hasil kajian dilakukan pensyarah lebih kepada penyelidikan untuk mendapat gelaran Profesor serta gagal dikomersialkan.

“Sepatutnya hasil kajian dilakukan dapat memberi impak seperti menambah pendapatan rakyat dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:34 PM