Ramle  menjadikan rumahnya di Kampung Kok Pasir  sebagai perpustakaan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Ramle menjadikan rumahnya di Kampung Kok Pasir sebagai perpustakaan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Muhamaad Razis Ismail


Tumpat: Minat mendalam terhadap buku mendorong pesara tentera menjadikan rumahnya di Kampung Kok Pasir, di sini, sebagai perpustakaan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Lebih unik, buku berkenaan boleh dibaca di perpustakaan yang dinamakan sebagai Galeri Pak Do atau dipinjam secara percuma.

Ramle Ismail, 58, berkata, perancangan awal dia sekadar mahu menempatkan 3,000 koleksi buku dan majalah di rumah kayu berkenaan selepas berpindah ke rumah baru di kawasan berhampiran.

Kemudian timbul idea untuk menjadikan rumah itu sebagai perpustakaan sejak Februari tahun lalu.

“Sejak itu, saya menggunakan barang terpakai dengan mengeluarkan modal sendiri, merealisasikan impian saya ini.

“Selain bahan bacaan, saya turut menempatkan koleksi peribadi termasuk telefon bimbit, cincin, topi, baju, basikal lama dan 1,300 gambar keluarga.

“Buku dan majalah yang saya tempatkan di sini adalah koleksi peribadi dan sumbangan daripada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, perpustakaannya menempatkan pelbagai jenis buku dan majalah untuk bacaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Setiap pengunjung bebas meminjam buku yang ditempatkan di sini secara percuma dan tiada tempoh yang ditetapkan. Mereka hanya perlu menulis di dalam buku yang disediakan di sini sebagai rekod,” katanya.

Ramle juga dalam perancangan menaik taraf perpustakaannya itu bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan memastikan buku berada dalam keadaan selamat.

“Rumah ini sudah berusia puluhan tahun menyebabkan kayunya reput. Situasi itu turut memberi ancaman kepada keadaan buku daripada air dan serangan anai-anai.

“Untuk itu, saya perlu memastikan buku sentiasa berada dalam keadaan baik dan hanya mampu buat pembaikan sedikit demi sedikit menggunakan wang sendiri,” katanya.

Mengenai sambutan orang ramai, Ramle mengakui jumlahnya sederhana.

“Saya perlu akui dalam keadaan sekarang, minat membaca dalam kalangan masyarakat agak kurang.

“Namun ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan usaha merangsang minat membaca dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:48 AM