Wakil pemandu GrabCar, Azizi Ismail, 35 (tengah) menyampai memorandum bantahan kepada wakil Malaysia Airport Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kelantan. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Wakil pemandu GrabCar, Azizi Ismail, 35 (tengah) menyampai memorandum bantahan kepada wakil Malaysia Airport Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kelantan. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rosliza Mohamed


PERSATUAN Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sudah membuat pertemuan dengan pemandu Grab Car bagi menyelesaikan isu pemandu teksi persatuan itu memukul seorang pemandu GrabCar sehingga cedera di hidung, semalam.

Pengerusinya, Abdul Rahsid Mamat, 65, berkata kejadian itu berlaku kerana salah faham dan pihaknya bukan mahu mencari gaduh namun pemandu GrabCar sepatutnya menghormati pemandu teksi yang sudah berpuluh tahun mencari rezeki di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Kira-kira 40 pemandu Grab Car di Kelantan yang kesal dengan kejadian itu dan wakil mereka menghantar memorandum bantahan kepada pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) dan menuntut syarikat itu mengambil tindakan.

Wakil berkenaan, Azizi Ismail, 35, berkata memorandum berkenaan turut mendesak MAB mengeluarkan surat rasmi menjelaskan lokasi sah untuk pemandu GrabCar mengambil dan menurunkan penumpang.

Difahamkan, kejadian berlaku berikutan ketidakpuasan hati pemandu teksi terhadap operasi GrabCar di LTSIP hingga menyebabkan pemandu yang dipukul berusia 20-an itu membuat laporan polis, sejurus kejadian kira-kira 4.30 petang.

Menurut Azizi, dalam persetujuan ketika Grab Car mula beroperasi di Kelantan pada Jun 2017, pemandu GrabCar dibenar mengambil dan menurunkan penumpang di Pintu C.

“Kejadian semalam berlaku apabila pemandu Grab Car mengambil penumpang di Pintu D dan apabila kenderaannya bergerak, dia ditahan pemandu teksi dan dipukul sehingga cedera di hidung.

“Kita tidak menolak kemungkinan pemandu ini orang baharu dan dia tidak tahu perjanjian sebelum ini iaitu GrabCar hanya dibenar mengambil dan menurunkan penumpang di Pintu C seperti diputuskan MAB.

“Namun, tidak sepatutnya pemandu teksi terbabit bertindak demikian seperti samseng jalanan," katanya ketika ditemui di LTSIP, Pengkalan Chepa, hari ini.

Azizi mendakwa pemandu Grab Car berkenaan juga menerima ugutan daripada pemandu teksi yang mahu membakar kenderaannya.

Sementara itu, Abdul Rahsid Mamat, mendakwa ketika kejadian, beliau menahan kereta GrabCar terbabit tetapi pemandunya memandu laju hingga nyaris melanggarnya.

“Pada masa sama, pemandu teksi lain juga berkumpul (menahannya) dan berlaku pertengkaran mulut,” katanya.

Menurutnya, ada 94 pemandu dan 64 teksi beroperasi di lapangan terbang itu dan pihaknya perlu membayar RM9,448 setahun untuk kos sewa termasuk lesen dan permit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:11 PM