ANGGOTA APM dan bomba memotong pokok tumbang. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
ANGGOTA APM dan bomba memotong pokok tumbang. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


GURU Besar Sekolah Agama Negeri (SAN) Rancangan Klias cedera akibat terkena runtuhan kayu selepas dapur rumahnya musnah dihempap pokok di Kampung Klias Kecil, Beaufort, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Ahmad Shamsudin Moksin, 54, cedera di dahi dan bahu kirinya namun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Beaufort.

Difahamkan, Ahmad Shamsudin bersama isterinya, Aisah Aneh, 52, berada di dalam rumah mereka sebelum dikejutkan apabila pokok setinggi kira-kira lima meter tumbang menghempap bahagian dapur rumah berkenaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Mohd Mayroof Koibil berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.10 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

"Sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dikerahkan ke Kampung Klias Kecil untuk menjalankan operasi berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi pada 2.51 petang, kita dapati pokok besar menghempap bahagian dapur rumah mangsa sehingga mengakibatkan kerosakan teruk.

"Seorang mangsa lelaki yang dipercayai pemilik rumah itu cedera dan sudah dibawa ke Hospital Beaufort untuk rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi.

Mohd Mayroof berkata, anggota APM Beaufort kemudian memotong dan membersihkan serpihan kayu pokok tumbang itu menggunakan peralatan khas serta gergaji rantai.

"Kita tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada cuaca buruk dan angin kencang yang melanda daerah ini sejak pagi tadi.

"Operasi yang tamat pada3.30 petang turut dibantu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:38 PM