DR Maximus (tiga dari kanan) diberi penerangan ketika majlis perasmian ‘8th International Greentech and Eco Product Exhibition and Conference Malaysia’, di KLCC, Kuala Lumpur.
DR Maximus (tiga dari kanan) diberi penerangan ketika majlis perasmian ‘8th International Greentech and Eco Product Exhibition and Conference Malaysia’, di KLCC, Kuala Lumpur.
Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM 2017) kelapan dijangka menarik minat 25,000 pengunjung perdagangan dari lebih 20 negara selain merancang menjana peluang perniagaan industri hijau bernilai RM1.6 bilion.

Acara anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia itu, berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menampilkan 320 pempamer antarabangsa dan serantau.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, yang hadir merasmikan IGEM 2017, berkata, selaras penetapan tema ketika penduduk bandar terus meningkat, ia menjadi semakin penting untuk mewujudkan ruang kehidupan yang mampan melalui inovasi dan amalan ekologi.

“Tema tahun ini, Memperkasa Bandaraya Hijau, bukan saja mencerminkan keperluan ini tetapi juga berkait rapat dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 Malaysia bagi mewujudkan masa depan lebih hijau yang mana bandar raya dijana oleh tenaga boleh diperbaharui, penduduk berulang-alik dengan kenderaan elektrik dan cekap tenaga serta hidup dan bekerja dalam bangunan hijau.

“Edisi tahun ini akan menonjolkan bidang utama teknologi hijau yang penting kepada pembangunan mampan bandar raya melalui zon khusus yang meliputi tenaga hijau, pengangkutan hijau, bangunan hijau serta industri hijau,” katanya menerusi ucapan ringkas sempena persidangan itu semalam.

Serentak diadakan pada majlis sama, pelancaran Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang menggariskan rangka strategik bagi pembangunan teknologi hijau bagi mewujudkan ekonomi dengan penggunaan karbon rendah dan sumber cekap.

GTMP bertujuan meningkatkan pertumbuhan sektor teknologi hijau di Malaysia dengan hasil yang disasarkan sebanyak RM180 bilion, sementara mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan hijau menjelang 2030.

“Langkah ini membolehkan usaha bersepadu untuk memanfaatkan teknologi hijau bagi mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama memelihara alam sekitar.

“Oleh itu, GTMP meletakkan asas bagi peralihan holistik dalam pendekatan Malaysia terhadap pembangunan sosio-ekonomi, sambil mematuhi prinsip kemampanan.

“Ia menggariskan pelan tindakan dan inisiatif yang memotong enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, bangunan, pengangkutan, sisa dan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:59 AM