Rosliza Mohamed


DUA lelaki Indonesia ditahan reman empat hari sehingga Rabu, susulan kes samun membabitkan penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 9 malam itu, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan cedera di perut dipercayai dilibas dengan pisau dan menerima 15 jahitan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan di Pengkalan Chepa, awal pagi semalam.

"Mereka ditahan susulan maklumat dan siasatan lanjut dijalankan selepas laporan dibuat mangsa pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu.

"Kita tahan mereka untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro melaporkan Thong Soon Hock, 22, cedera selepas disamun dua lelaki tidak dikenali yang menggunakan senjata dipercayai pisau.

Kejadian berlaku di laman siswa bersebelahan kampus universiti itu ketika mangsa bersendirian dan dan Ipad miliknya dirampas.

Perutnya dilibas pisau ketika cuba mengambil kembali Ipadnya.

Berikutan itu, rakan serumah mangsa membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dirawat sebagai pesakit luar.

Berita berkaitan

'15 jahitan dilibas penyamun'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 4:24 PM