BERNARD Arnault. FOTO AFP
BERNARD Arnault. FOTO AFP
Agensi

Paris: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Moet Hennessy Louis Vuitton (LVMH) Bernard Arnault yang juga individu terkaya di dunia dilaporkan bertemu lima anaknya sebulan sekali untuk makan tengah hari di dalam bilik makan peribadi di ibu pejabat syarikat itu.

Wall Street Journal (WSJ) melaporkan makan tengah hari itu berlangsung selama 90 minit dan bermula dengan bilionair Perancis itu membaca topik perbincangan menerusi iPadnya.

Arnault membincangkan strategi di empayar perniagaan mewahnya kemudian kemudian meminta nasihat lima anaknya.

Bilionair berusia 74 tahun itu meminta pendapat mengenai pengurus tertentu di syarikat itu sama ada sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan pada mana-mana jenama di bawah LVMH.

Arnault menguji mereka untuk melihat siapa yang berpotensi mengambil alih empayar mewah itu.

Bagaimanapun, bilionair itu tidak memberikan sebarang bayangan siapa yang akan dipilihnya sebagai penggantinya dan hanya berkata, ia berdasarkan merit.

Laporan WSJ mendedahkan sesi bulanan itu adalah sebahagian daripada rancangan berdekad lamanya untuk menyediakan anaknya yang akan mengambil alih syarikat itu selepas ketiadaannya.

Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, Arnaut mendahului CEO Tesla, Elon Musk lewat tahun lalu sebagai orang terkaya di dunia.

Kekayaannya mencecah AS$208 bilion (kira-kira RM928 billion) pada 19 April, menurut indeks itu.

Arnault memiliki kira-kira separuh daripada syarikat jenama mewah terbesar itu.

Pada 1989, beliau memperoleh pegangan kawalan dalam LVMH.

Portfolio jenama syarikat termasuk Louis Vuitton (LV), Bulgari, Tiffany, Sephora, TAG Heuer dan champagne, Dom Perignon.

Orang terkaya dunia itu juga melantik anaknya ke jawatan penting dalam syarikat itu.

Delphine, anak sulungnya dilantik sebagai ketua di jenama kedua terbesar dalam empayar LVMH, Christian Dior.

Jawatan menguruskan firma induk yang mengawasi LVMH dan kekayaan keluarga Arnault diberikan kepada Antoine.

Frederic pula menyandang jawatan CEO TAG Heuer, manakala Alexandre, eksekutif di Tiffany dan Jean iaitu anak bongsu bertanggungjawab dalam pemasaran dan pembangunan produk untuk jabatan jam tangan LV.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 11:36 AM