ANGGOTA  Skuad Pantas memantau kawasan pentadbiran di Bilik Gerakan MPK.
ANGGOTA Skuad Pantas memantau kawasan pentadbiran di Bilik Gerakan MPK.
Iskandar Shah Mohamed

Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi Pasukan Tindakan Khas (Skuad Pantas) dan jabatan berkaitan berada dalam keadaan siap siaga menghadapi fenomena air pasang besar dan banjir sehingga Disember depan.

Selain penyediaan bot dan lori, pos gerakan sementara akan diwujudkan di lokasi terjejas dalam memberi bantuan awal kepada mangsa.

Fokus kawasan utama antaranya di Kampung Tok Muda, Kapar dan Taman Selat Damai, Pandamaran, di sini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya mengarahkan seramai 24 pegawai dan anggota untuk bersiap sedia dalam tempoh 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir di daerah ini.

“Pemerhatian kami mendapati keadaan ban di lokasi terjejas (sekitar Kampung Tok Muda) pada tahun lalu sudah diperbaiki dan ditambah baik.

“Bagaimanapun, kami perlu bersedia sekiranya bacaan paras air pasang laut melebihi 5.5 meter pada awal Oktober, November dan Disember depan hingga mengakibatkan air melimpah lalu berlaku banjir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPK, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut giat melaksanakan kerja pembersihan parit di beberapa lokasi berisiko banjir termasuk mengorek dan mengeluarkan sampah.

“Kami juga menjalankan pemantauan menyeluruh dan berterusan menerusi 76 lokasi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bandar dan jeti berkaitan,” katanya.

Katanya, enam dewan di bawah seliaan MPK akan digunakan sebagai pusat pemindahan sementara antaranya Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, Teluk Gadong dan Kampung Kuantan.

“Semua dewan itu sudah diselenggara bagi memastikan berada dalam keadaan bersih dan lengkap terutama berkaitan pendawaian elektrik,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang berdepan masalah berkaitan banjir supaya menghubungi Bilik Gerakan 24 jam MPK di talian 03-33748845 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 3:50 AM