Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


AHLI Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek akan membintangi filem This Is Pilah yang bakal memulakan penggambaran bulan depan.

Filem komedi romantik berlatar belakang Adat Perpatih itu terbitan Madness Film Sdn Bhd (Madness Film).

Pengasas Madness Film, Shafirul Nizam Haron berkata, filem itu arahan Rosdi Md Dali akan ditayangkan pada awal tahun depan.

"Filem ini menampakkan kelainan apabila semua dialek menggunakan bahasa Negeri Sembilan yang turut menampilkan Datuk Seri Hasan Malek sebagai pelakon jemputan.

"Filem ini menelan belanja RM1 juta dan pelakon utama adalah penyanyi rap tempatan, Juzzthin. Sementara itu pelakon wanita masih misteri," katanya.

Syafirul Nizam berkata, filem itu juga akan dibintangi artis lain yang berasal dari negeri berkenaan iaitu Waris dan Ito.

"Buat masa ini kami juga sedang berunding untuk menjemput kartunis Ujang dan penceramah, Ustaz Syamsul Debat," katanya.

Beliau berkata, dalam pada itu single terbaru Waris iaitu This Is Pilah turut dilancarkan yang menjadi muzik runut filem berkenaan.

"Filem ini berkisar mengenai pemuda dari Kuala Pilah yang mahu berkahwin dengan wanita idaman namun dihalang bapa lelaki berikutan berasal dari suku yang sama," katanya.

Katanya, pihaknya melantik Undang Johol, Datuk Muhammad Abdullah sebagai penasihat filem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 10:55 PM