Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Filem The Garden of Evening Mists (TGOEM) arahan Tom Lin bakal ditayangkan di Shibuya Euro Space, Jepun bermula 24 Julai depan.

Filem mengangkat kisah sejarah Malaysia itu adalah terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Penerbit Eksekutif TGOEM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata, mereka teruja kerana filem berkenaan mendapat peluang ditayangkan di negara matahari terbit itu.

"TGOEM mengangkat kisah berlatarkan Malaysia dan dijayakan gabungan hebat barisan pelakon serta tenaga kru profesional dari Malaysia serta luar negara seperti Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia, dan United Kingdom.

"Kami harap filem ini mampu menambat hati penonton Jepun seperti mana ia meninggalkan kesan kepada penonton dari pelbagai negara sebelum ini. Kami akan terus komited mempersembahkan lebih banyak filem mengangkat kisah serta tenaga kreatif dari Asia," katanya.

Walaupun ia bukan pertama kali filemnya ditayangkan di Jepun, pengarah, Tom tetap teruja dan pada masa sama gementar dengan berita gembira itu.

"Walaupun tiga filem arahan saya sebelum ini pernah ditayangkan di sana, namun kali ini perasaannya berbeza dan sedikit gementar untuk melihat penerimaannya.

"Filem TGOEM mengangkat subjek yang berat, tetapi ia juga sarat dengan cinta, empati, pengorbanan dan menebus kesilapan lalu. Saya berharap filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton," katanya.

Selain mendapat sentuhan Tom yang berasal dari Taiwan, turut terbabit menjayakan karya itu adalah pemenang skrip terbaik di British Academy of Film and Television Arts (Bafta) iaitu Richard Smith.

Manakala barisan pelakonnya termasuk pemenang Pelakon Filem Wanita Terbaik Hong Kong, Sinje Lee, Pelakon Lelaki Terbaik Jepun, Hiroshi Abe, penyanyi dan pelakon legenda Taiwan, Sylvia Chang, pelakon terkenal Britain, David Oakes dan Julian Sands serta pelakon Scotland, John Hannah.

Penggambaran TGOEM dijalankan di Malaysia termasuk di Cameron Highlands, Sungai Lembing dan Klang.

Terdahulu, filem itu berjaya merangkul anugerah Rekaan Kostum dan Solekan Terbaik di anugerah berprestij, 56th Golden Horse Awards.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:08 PM