Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa membariskan pelakon hebat.
Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa membariskan pelakon hebat.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya meraih kutipan RM6 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di Malaysia.

Berita gembira terbabit diumumkan menerusi akaun rasmi Instagram filem aksi ketenteraan Malaysia itu, malam tadi.

"Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya mengutip RM6 juta dalam tiga hari tayangan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini," tulisnya.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FXHammer Films dan SixFun Media. 

Filem ini mengisahkan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh.

Di Malaysia, pasukan TUDM mengadakan misi untuk menyelamatkan mereka. 

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As'ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu turut ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei sejak 25 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 8:49 AM