ZAKARIA (kanan) melawat anggota Pasukan Sukarelawan Polis yang cedera dirempuh motosikal. FOTO Togi Marzuki
ZAKARIA (kanan) melawat anggota Pasukan Sukarelawan Polis yang cedera dirempuh motosikal. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


DUA anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) cedera dirempuh motosikal ketika mengikuti Ops Rempit di Jalan Delima Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian, Johor, 11.30 malam tadi.

Muhamad Haziq Rashid, 28, cedera di kedua belah kaki manakala, Helmi Abdul Majid, 35, cedera di kepala dan muka menyebabkan mereka terpaksa dirawat di Hospital Pontian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abd Rahman berkata, mangsa dirempuh motosikal dinaiki dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya dilakukan dalam operasi itu.

"Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua remaja terbabit mendapati masing-masing positif mengambil ganja dan syabu.

"Mereka direman lima hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, dua anggota PVR dan remaja terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 4:28 PM