KHAIRY  (kiri)  pada Majlis Penyerahan Kereta Rasmi KL2017  di Pusat Jualan Peugeot, Glenmarie semalam.
KHAIRY (kiri) pada Majlis Penyerahan Kereta Rasmi KL2017 di Pusat Jualan Peugeot, Glenmarie semalam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui berdepan tekanan memuncak menghampiri temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada 19 Ogos ini.

Namun kehadiran penaja menghulurkan sokongan membantu jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) sedikit sebanyak meredakan tekanan.

Terbaru penaja platinum Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (KL2017) Naza Corporation Holdings menyerahkan kumpulan pertama kereta rasmi membabitkan 18 kereta dengan model Peugeot 408, 508 dan Traveller yang dibalut dengan jenama KL2017.

Khairy yang ditemui pada majlis penyerahan kereta tajaan di ruang pameran Peugeot Glenmarie Shah Alam semalam berkata, fasa terakhir ini adalah masa terbaik untuk menggerakkan sokongan rakyat kepada atlet negara.

“Tekanan semakin meningkat apabila kita semakin hampir dengan temasya.

“MASOC bersama 17 jawatankuasa di bawahnya melipat gandakan usaha dalam beberapa bulan ini.

“Penerimaan kenderaan rasmi KL2017 ini akan banyak membantu jawatankuasa pengangkutan yang sedang memperkemaskan urusan logistik untuk temasya itu nanti,” katanya.

Secara keseluruhan, penajaan Naza merangkumi penyediaan 298 kereta rasmi yang akan membawa ketua negara, menteri, chef de mission, pegawai kanan, ahli sukan dan kumpulan sukarelawan sepanjang temasya KL2017 berlangsung.

Sementara itu, pada majlis yang sama Khairy menandatangani ‘pledge car’ sebagai simbol kepada permulaan kempen dianjurkan Peugeot untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam memberikan sokongan kepada atlet negara di KL2017.

Naza dan Peugeot akan memberi 100 tiket percuma kepada 50 pemenang bertuah menghadiri upacara pembukaan KL2017 Ogos ini.

Untuk memenangi tiket itu, orang ramai hanya perlu bergambar dengan ‘pledge car’, tulis mesej atau kapsyen berserta hastag #PeugeotMalaysia, #DrivingChampions dan #nazacorp apabila mereka memuat naik gambar di media sosial.

KL2017 akan berlangsung dari 19-30 Ogos dan Para ASEAN, 17-23 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 9:46 AM