PUSAT sukan keluarga yang menawarkan judi dalam talian yang diserbu.
PUSAT sukan keluarga yang menawarkan judi dalam talian yang diserbu.

Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik pusat sukan keluarga dengan menawarkan sukan snuker dan dart. Bagaimanapun ia hanya helah tiga pusat judi dalam talian yang menjalankan kegiatan di Jalan Shamelin Perkasa, Cheras di sini.

Kegiatan itu dibongkar 64 anggota Bahagian Risikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya yang melakukan Op Gegar jam 11 malam kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan aduan dan maklumat awal disalurkan kepada JIM berkaitan warga asing yang bekerja tanpa pas atau dokumen sah di premis judi di kawasan berkenaan.

“Pusat judi dalam talian ini menawarkan suasana eksklusif dan mewah kepada pelanggan. Mereka didapati mampu mengaut keuntungan lebih RM5,000 sehari berdasarkan nilai rampasan di ketiga-tiga premis.

“Mereka turut didapati menyediakan pekerja wanita asing sebagai pelayan pelanggan selain makanan, minuman, ruang istirehat dan ruang bertaruh judi,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, JIM melakukan pemeriksaan terhadap 95 individu sebelum menahan seramai 87 warga asing dan enam lelaki tempatan yang mengaku sebagai pengurus dan penyelia premis itu.

“Daripada jumlah itu, seramai 47 individu adalah warga Bangladesh, 22 Myanmar, tujuh Indonesia, empat India dan seorang Thailand yang bekerja tanpa dokumen yang sah,” katanya.

Beliau berkata, sindiket perjudian itu bukan saja menggajikan pekerja asing secara haram tetapi juga beroperasi tanpa memiliki lesen yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 4:26 AM