EMPAT PATI bekerja sebagai pengawal keselamatan diberkas JIM. FOTO IHSAN JIM
EMPAT PATI bekerja sebagai pengawal keselamatan diberkas JIM. FOTO IHSAN JIM
Shamsul Munir Safini


SERAMAI empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang.

Dalam operasi jam 10 malam tadi sekitar Bayan Lepas, JIM menahan 11 PATI termasuk empat lelaki bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam operasi itu pihaknya menyerbu tiga premis termasuk dua bengkel membaiki kenderaan dan pusat beli belah.

“Dalam operasi di pusat beli belah, pihaknya memeriksa enam warga asing yang sedang bertugas sebelum mendapati empat daripada mereka terdiri daripada dua warga India dan dua Nepal tidak mempunyai dokumen dan permit sah.

“Keempat-empat mereka diberkas dan ditahan bagi tujuan selanjutnya manakala dua lagi serbuan di bengkel sekitar Bayan Lepas berjaya menahan tujuh pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua tujuh pekerja lelaki ditahan di sebuah bengkel membaiki kereta adalah warga Myanmar.

Katanya, selain itu semua individu menggaji warga asing diberikan notis saman dan perlu hadir ke Pejabat JIM bagi tindakan siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 4:57 PM