Fairul Asmaini Mohd Pilus


PEMEGANG kad konsesi dan MyRapid diminta segera menukar serta memindahkan baki kad mereka kepada MyRapid Touch 'n Go (TnG) kerana dua kad itu tidak boleh lagi digunakan selepas 15 Julai ini.

Ketua merangkap Naib Presiden Eksekutif Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Lim Jin Aun berkata, ketika ini dianggarkan 220,000 pemegang kad MyRapid dan 48,000 pemegang kad konsesi masih belum membuat penukaran.

Kata Lim, penukaran kad terbabit penting bagi melancarkan perjalanan antara laluan Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang serta perkhidmatan kereta api lain dan rangkaian bas Rapid KL memandangkan kad MyRapid sedia ada akan ditamatkan penggunaannya selepas tarikh berkenaan.

Katanya, apabila dibuka sepenuhnya, laluan MRT hanya boleh menggunakan kad Touch N Go serta sistem tiket tunai manakala kad MyRapiddan kad konsesi lain tidak diterima.

"Kita harap orang ramai segera membuat penukaran dan jangan tunggu sehingga hari terakhir untuk mengelakkan kesesakan di kaunter," katanya ketika ditemui pada sesi Walkabout Bersama Media, hari ini.

Menurut Lim lagi, untuk kad MyRapid biasa, pengguna boleh menukar kad di semua Pejabat Perhubungan Pelanggan Rapid KL stesen LRT, Monorail dan transit bas rapid (BRT) kecuali Stesen Abdullah Hukum, Subang Alam, Taipan, Taman Perindustrian Puchong, Cahaya, SS18, USJ21, Miharja, Jelatek dan Damai.

"Bagi kad konsesi pula penukaran boleh dibuat di kaunter kad konsesi di stesen bas Pasar Seni, Stesen LRT Subang Jaya, Sri Rampai dan Awan Besar pada setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:44 PM