Nabihah Kamal


Seri Kembangan: Bercucuk tanam pada zaman ini bukan hanya di kampung atau kebun yang luas kerana ia boleh dilakukan di bandar, malah di belakang dapur.

Apa yang penting kaedah yang betul digunakan dan ilmu dimiliki.

Atas dasar mahu menyebarkan ilmu bercucuk tanam kepada kanak-kanak hinggalah warga emas, 10 graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) mewujudkan laman web dan Facebook (FB) Kebun Bandar.com.

Mereka turut mengadakan bengkel berkaitan hal bercucuk tanam.

Pengurus Program Kebun Bandar.com Amirah Solehah Shokri,28, berkata, dia bersama sembilan sahabatnya berkongsi ilmu mengenai cara bercucuk tanam terutama sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kami membuka laman web serta FB untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai manfaat bercucuk tanam. Pengikut kami seramai 200,000 orang sering berkongsi tip dan cara tanam pokok dengan lebih efektif dalam tempoh masa singkat.

“Walaupun hanya mempunyai satu pasu bunga di rumah, ia membantu mendidik persekitaran yang cintakan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, reaksi netizen positif dalam berkongsi tip cara bercucuk tanam, malah ada yang meminta supaya diadakan bengkel.

“Pada 2014, kami mula buat bengkel untuk memberi kesedaran mengenai tumbuhan hijau. Melalui bengkel ini, kami ajar cara tanam sayur dan tumbuhan herba yang boleh digunakan untuk masakan

“Ilmu ini bukan saja memberikan manfaat kepada alam sekitar, ia juga dapat membantu orang ramai berjimat kerana ada ‘kebun dapur’,” katanya.

Amirah berkata, ‘kebun dapur’ adalah tanaman seperti cili, halia, serai, daun pandan, dan kunyit di mana ia adalah 100 peratus organik.

“Jika di pasaran, sukar untuk membeli dalam kuantiti sedikit kerana peniaga menjual dengan kuantiti yang banyak. Justeru, ia mengakibatkan pembaziran.

“Selain itu, jika ia ditanam hasil tangan kita, sudah pasti kita menjaga tumbuhan itu dengan baik dan tidak menggunakan bahan kimia demi mengekalkan kesegarannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 11:01 AM
HMViral bercucuk tanam di belakang dapur.
HMViral bercucuk tanam di belakang dapur.