Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nafi mengeluarkan kenyataan mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, dakwaan itu tular di laman sosial sejak semalam.

Katanya, apa yang tular itu tidak benar dan mengelirukan masyarakat.

"SPRM memohon supaya mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan isu kes JANS.

"SPRM memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana media sosial untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mencemarkan reputasi SPRM.

"Pengurusan tertinggi SPRM sedang menimbang untuk membuat laporan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang diambil," katanya.

Menurutnya, fakta kes berkenaan ialah pada 29 Disember 2016, tiga individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram dan sebutan kes itu ditetapkan pada 8 Ogos 2017.

Katanya, Ketiga-tiga tertuduh ialah Mohd Tahir Mohd Talib, 54, dan isterinya, Fauziah Piut dan Lim Lam Beng, 62.

"Mohd Tahir didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Fauziah dan Lam Beng masing-masing didakwa dengan 19 pertuduhan yang bernilai RM2.2 juta dan empat pertuduhan yang bernilai RM 2.38 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001," katanya.

SPRM menegaskan, kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001 membabitkan hasil wang haram yang diperoleh daripada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 oleh perasuah.

Katanya, mengikut seksyen itu, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 1:17 PM