ROSMAH bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur bergambar dengan peserta pidato. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ROSMAH bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur bergambar dengan peserta pidato. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


SELAIN mendalami Bahasa Melayu, 52 peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2017 turut berpeluang menghayati adat resam rakyat Malaysia menerusi program inap desa yang disertai mereka di Kampung Lonek Negeri Sembilan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, penyertaan peserta dalam program ini adalah cara tepat untuk memperkenalkan budaya, adat resam dan cara hidup masyarakat kepada peserta.

"Saya pasti selama ini peserta hanya mendengar khabar dan melihat dari jauh sahaja kehidupan masyarakat kita yang kaya dengan tradisinya.

"Tapi kali ini, saya gembira kerana program inap desa ini akan membuatkan peserta mengalami dan merasai sendiri budaya, seterusnya menghayati adat resam rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Resepsi PABM 2017 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

PABM 2017 edisi ke-11 berlangsung sehingga Rabu ini dan diisertai 52 peserta dari seluruh dunia seperti Australia, Azerbaijan, China, Fiji, India, Mesir, Nigeria, Palestin dan Korea Selatan.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu Alam Melayu, antarabangsa dan antarabangsa di Malaysia, dengan 10 peserta mengesahkan penyertaan bagi kategori Alam Melayu diikuti antarabangsa (20 peserta) dan antarabangsa di Malaysia (22 peserta).

Sementara itu, Rosmah berkata, pidato membolehkan peserta luar negara melontarkan idea bernas serta pandangan melalui penggunaan Bahasa Melayu.

"Apa yang penting, pidato adalah satu seni persembahan yang unik dan berkesan, sekiranya disampaikan dengan baik ia mampu mengubah pandangan dan paradigma pemikiran penonton yang mendengarnya.

"Ia ibarat senjata ampuh yang mampu mengubah perasaan dan semangat pendengar,"katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata,beliau berharap usaha memartabat dan melestarikan Bahasa Melayu tidak dilakukan dengan hanya penganjuran PABM, tetapi perancangan lain harus dibuat secara konsisten dan terarah.

Katanya, ia bagi merealisasikan hasrat untuk melihat Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perhubungan atau lingua franca di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 5:25 PM